Berita

Pusat Data Serantau Microsoft Bakal Wujud 19,000 Peluang Pekerjaan

PUTRAJAYA, 19 April – Pusat data serantau pertama di Malaysia akan ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan awan diyakini dengan tahap keselamatan data dan privasi bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan pusat data serantau pertama oleh Microsoft Corporation di Malaysia akan mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 yang berkaitan teknologi maklumat (IT) dibawah Inisiatif “ Microsoft Bersama Malaysia” yang dijangka bernilai sekurang-kurangnya RM4.1 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, menurut International Data Corporation, tempias pelaburan pusat data serantau akan memberi penjanaan hasil berganda iaitu berjumlah RM28.30 hasil pendapatan ekosistem awan tempatan, bagi setiap RM4.20 daripada pendapatan awan Microsoft Malaysia menjelang 2024. Terdapat lima perkongsian awam-swasta yang dibentuk Microsoft dibawah inisiatif tersebut termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Petronas, Celcom dan Grab. Kerjasama ini dapat membantu sehingga satu juta rakyat Malaysia mahir dalam pelbagai peringkat serta merapatkan jurang digital dan memperkasakan penggunaan teknologi menjelang tahun 2023.

Pusat data serantau pertama Microsoft di Malaysia itu akan terdiri daripada ‘Microsoft Azure’, yang akan membolehkan sesiapa sahaja mereka cipta dengan tujuan untuk menggunakan perkhidmatan dan keupayaan awan yang merangkumi pengkomputeran, perangkaian, pangkalan data, analitik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT); Microsoft 365, untuk berhubung, berkolaborasi, bekerja dari jarak jauh dan belajar secara dalam talian dengan instrumen produktiviti inovatif; serta Dynamics 365 dan Power Platform, untuk membina dengan pantas dan menguruskan penyelesaian perniagaan enterpris kritikal dengan aplikasi perniagaan pintar.

Malaysia dikatakan mempunyai potensi besar untuk menjadi hab data serantau, dengan ketersediaan jalur lebar tinggi yang meningkat, ruang yang secukupnya, tarif kuasa yang berpatutan dan kini dengan kemunculan syarikat-syarikat hiperskala. Oleh itu, pelbagai usaha seperti penyambungan rangkaian 5G ke kawasan-kawasan pedalaman dan projek infrastruktur digital akan memperkukuhkan lagi potensi Malaysia.

Kredit Gambar dari BERNAMA

Related posts
Berita

Perkukuh Inisiatif Digital Kerajaan Untuk Menambah Baik Penyampaian Perkhidmatan Awam

Berita

Kerajaan Lancar Dasar 4IR Bagi Memacu Transformasi Sosioekonomi Dengan Teknologi Termaju

Berita

Semua Bayaran Perkhidmatan Kerajaan Dibuat Secara Tanpa Tunai Bermula 2022

Berita

Perkhidmatan Awan Dan Keselamatan Siber Bantu Kerajaan Perluaskan Perkhidmatan Pintar

Dapatkan berita terbaru terus ke e-mel anda